Dalam mempertingkat dan memantapkan lagi pendidikan agama Islam, YIK telah mengorak langkah mengadakan pendidikan prasekolah yang bercorak agama islam dan seimbang dengan kurikulum yang lain. YIK telah membuat kajian mengenai perkara tersebut dan didapati bahawa tadika yang ditubuhkan oleh pelbagai pihak dengan kurikulum yang pelbagai corak pada masa itu adalah tidak memenuhi alam pendidikan. Hal ini kerana, corak pendidikan tersebut tidak sesuai untuk kanak-kanak yang berada pada peringkat prasekolah.
Setelah meneliti keadaan sedemikian, YIK membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah tadika yang dapat memberikan contoh dari segi pengurusan kurikulum dan pembelajarannya. Pada peringkat permulaannya,ditubuhkan sebuah tadika yang akan menjadi model kepada tadika Islam yang lain. Bahkan diharap akan menjadi sebuah pusat perkembangan tadika Islam di negeri ini di samping berperanan sebagai sebuah tadika islam. Di samping belajar di dalam kelas dan latihan jasmani dihalaman tadika, murid-murid tadika ini akan diberi latihan mengenai cara-cara mengambil wuduk, sembahyang dan adab-adab semasa berada di dalam masjid.
Lokasi
Bagi mencapat matlamat ini, sebuah kawasan telah di kenal pasti iaitu bekas rumah kerajaan yang pernah didiami oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan, terletak di Lot 1 Seksyen 18 Kampung Sireh, Kota Bharu Kelantan. Kawasan ini berkeluasan 1 ekar 116 depa dan bersebelahan dengan masjid Kampung Sireh. Hasrat penubuhan dan pengabadian nama tadika tersebut dengan nama DYMM Raja Perempuan Kelantan kemudiannya telah diangkat sembah untuk memohon ampuni perkenan baginda, turut disembah maklum adalah tentang skop pendidikan dan pembangunan persekolahannya selain memohon titah nasihat bagi pelaksanaannya kerana baginda amat mengambil berat tentang bidang pendidikan terutamanya bidang pendidikan prasekolah. Hasilnya cukup baik kerana baginda telah menunjukkan minat yang sangat tinggi terhadap usaha YIK menubuhkan sebuah tadika, sekali gus berfungsi sebagai pusat perkembangan kanak-kanak.
Pembangunan Tadika Tengku Anis
Pembangunan tadika ini terdiri daripada dua fasa iaitu fasa pertama mendirikan bangunan kelas. Fasa kedua pula dilakukan dengan mengubah suai bangunan kuaters Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan di Jalan Kampung Sireh, Kota Bharu. Lokasi ini sangat sesuai untuk pembinaan tadika islam kerana bersebelahan dengan Masjid Kampong Sireh.
Kerja-kerja yang dilakukan pada peringkat awal iaitu pembinaan empat bilik darjah, dapur, dewan makan, bilik perpustakaan, pejabat dan bilik guru siap pada tahun 1988. Fasa kedua yang melibatkan pembinaan lapan bilik darjah, dewan serba guna, bilik kesihatan, tandas dan lain-lain pula siap pada akhir tahun 1989 dan boleh digunakan sepenuhnya pada awal tahun 1990.
Sumbangan luar juga tidak ketinggalan dalam merealisasikan hasrat penubuhan TTA. Bantuan daripada badan-badan sukarela serta orang perseorangan termasuklah Kerajaan Arab Saudi, WAMY (World Assosiation of Muslim Youth), dan al-Rajhi ( Arab Saudi) selain daripada kerajaan Negeri Kelantan sendiri menerusi Yayasan Islam Kelantan.
Murid Peringkat Awal
Tadika ini mula beroperasi pada 1 Januari 1989. Selepas itu Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah mendapat ampuni perkenan daripada DYMM Raja Perempuan untuk mengabadikan nama tadika itu dengan nama baginda iaitu "Tadika Tengku Anis". Pada 3 Ogos 1990, perasmiannya telah disempurnakan oleh DYMM Raja Perempuan Kelantan sendiri dalam majlis yang sangat besar maknanya kepada perkembangan pendidikan prasekolah di negeri Kelantan Darul Naim.
Pelajar Terawal yang belajar di Tadika Tengku Anis ini termasuklah Yang Teramat Mulia Tengku Amalin A'isyah iaitu puteri bongsu baginda. Baginda merupakan pelajar sulung bersama-sama pelajar lain seramai 135 orang dalam empat kelas dengan sembilan orang guru termasuk seorang guru besar sebagai perintis TTA. Pertambahan murid telah meningkat sekali ganda pada tahun yang berikutnya apabila pembangunan fasa kedua telah siap. Baginda DYMM Raja Perempuan sangat memberi perhatian kepada TTA. Sejak awal pengajian, baginda telah mengurniakan komputer sebagai asas untuk murid-murid belajar komputer. Baginda juga turut mengurniakan makanan kepada murid-murid tadika itu pada setiap hari Khamis. Sembah junjung kasih yang setinggi-tingginya kepada DYMM Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid, Raja Perempuan Kelantan yang banyak berjasa terhadap penubuhan dan pelaksanaan Tadika Tengku Anis sehingga beroleh kejayaan besar hingga sekarang.